SELAMAT MENYAMBUT HARI WANITA

Friday 22 November 2013

KEMBALIKAN PULAU PINANG KEPADA SULTAN KEDAH



Tapi ia adalah berdasarkan fakta sejarah.

Asal cadangan itu datangnya dari Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wan Shamsuddin Mohd. Yusof melalui kenyataannya kepada Bernama 1 Disember lalu.

Berita itu bertajuk: Kedah dicadang tuntut semula Pulau Pinang:

‘‘PSMCK mencadangkan supaya Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah kerana negeri tersebut pada asalnya kepunyaan Kedah.

Pengerusi PSMCK, Datuk Wan Shamsudin Mohd. Yusof berkata, cadangan itu ditimbulkan kerana Pulau Pinang adalah hak milik Kedah sebelum berlakunya perjanjian antara Sultan Kedah dan British pada 1786.

“Setelah negara kita merdeka pada 1957, Pulau Pinang yang dijajah sepatutnya dikembalikan kepada Kedah sepertimana Dinding dan Pangkor dikembalikan kepada Perak. Tetapi Pulau Pinang tidak dikembalikan kepada Kedah dan terus dijadikan sebuah negeri yang berasingan,” ujarnya kepada pemberita.

Dalam perjanjian yang dibuat antara Sultan Kedah ketika itu, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah dan Leftenan Gabenor Pulau Pinang, Sir George Leith Baronet pada tahun 1800, Pulau Pinang dipajak untuk menampung keperluan ekonomi pada masa itu.

Pada ketika itu, Pulau Pinang dipajak dengan harga 6,000 manakala Seberang Prai dipajak dengan harga 4,000 dan pihak British membayar wang tersebut kepada Sultan Kedah dengan menggunakan mata wang Sepanyol.

Menurut Wan Shamsudin, Pulau Pinang dan Seberang Perai disifatkan masih hak milik Kedah kerana duit pajakan masih dibayar oleh Kerajaan Pusat dengan nilai RM10,000 setiap tahun kepada kerajaan negeri Kedah pada masa ini.

“Pembayaran pajakan masih wujud sehingga kini dan ini bererti, keadaan tersebut masih wujud dan tidak salah untuk Kedah membuat tuntutan,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya akan mengadakan satu seminar dengan pakar-pakar sejarah untuk mengumpulkan fakta-fakta dan bukti yang berkaitan dengan sejarah Pulau Pinang yang dahulunya di bawah naungan Kesultanan Kedah.

“Kami juga akan menyerahkan bukti dan fakta tersebut kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dan terserah kepada mereka untuk menuntut semula Pulau Pinang atau tidak,” katanya.

Tanpa menjelaskan siapa pihak yang bertanggungjawab itu, Wan Samsudin berkata, tugas PSMCK ialah untuk menyuarakan kembali perkara itu memandangkan ramai pihak mula terlupa tentang sejarah sebenar negeri Pulau Pinang.

“Sama ada pihak tersebut mahu menuntut semula Pulau Pinang atau tidak itu terserah kepada mereka.

“Kami suarakan perkara ini kerana tidak mahu sejarah negeri Kedah dan Pulau Pinang terus dilupakan,” katanya.

Namun bukan semua orang menyenangi dengan cadangan itu. Ada yang mengatakan jika itulah pandangannya maka Tanah Melayu harus dikembalikan kepada Orang Asli?

DAP sudah tentu tidak mahu menyerahkan Pulau Pinang kepada Kedah. Mereka juga sudah tentu tidak bersetuju dengan pandangan dan cadangan itu. Pulau Pinang bagi DAP ialah kubu terkuatnya (sekarang).

Sejarah Pulau Pinang, sudah tentu mereka 100 peratus bersetuju, hanya bermula dari kolonial Inggeris, Francis Light. Bukannya dari kesultanan Melayu Kedah. Mereka juga percaya Raffleslah yang membuka Singapura. Bukan kesultanan Melayu.

Namun, cadangan Wan Shamsuddin itu mesti dipertimbangkan dengan wajar dan serius. Patik – Ahli Mahkota Kedah ini – berharap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan dapat meneliti perkara ini sedalam-dalamnya.

Umumnya komen-komen yang diutarakan dalam siber bagi mencantas cadangan itu jelas memperlihatkan kedangkalan sejarah dan persejarahan di kalangan rakyat Malaysia. Pemikiran dan sikap mereka dalam hal ini bersifat kebudak-budakkan sehingga ada mengatakan bahawa jika kita hendakkan yang asal, mengapa tidak kembalikan Tanah Melayu kepada orang asalnya, Orang Asli.

Beberapa lagi komen menjurus kepada mencabar kedaulatan Malaysia – dari segi mengembalikan negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, Thailand dan Sabah kepada Filipina.

Wan Shamsudin telah membangkitkan satu isu penting dalam sejarah dan persejarahan negara, bukan hanya kaitan Kedah dan Pulau Pinang. Ini adalah kerana sekian lama, sejarah dan persejarahan Malaysia, sama ada sengaja atau tidak, wujud dalam keadaan pelbagai kelompongan.

Saranan Wan Shamsuddin perlu disokong lalu diteliti dan dihalusi implikasinya dari segi sejarah dan persejarahan pasca kolonial. Kita bukan menolak kedatangan Inggeris dan kuasa barat ke Alam Melayu. Apa yang penting ialah usaha berterusan memberi tafsiran dan konteks yang lebih wajar kepada alam dan geopolitik kesultanan Kedah.

Murad juga dalam kenyataan akhbarnya menyebut, perjanjian memajak Pulau Pinang antara Sultan Kedah dan British pada 1786 dan 1800 tidak pernah menyebut bahawa ia tidak boleh dimansuhkan atau akan tamat pada tempoh tertentu.

Oleh itu, katanya tidak mustahil jika Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah jika ia dituntut sekarang. ‘‘Pulau Pinang boleh dijadikan satu daerah atau wilayah khas dalam Kedah jika ia dikembalikan kepadanya.”

Kata Murad, selama ini rakyat Malaysia hanya menganggap sejarah kewujudan Pulau Pinang berlaku pada 1786 iaitu apabila British mula sampai ke negeri itu. ‘‘Namun sebenarnya sejarah Pulau Pinang dan orang Melayu telah terpendam. Jika Kedah mengambil semula Pulau Pinang, ia sama sekali akan mengubah sejarah negeri itu,” jelas beliau.

Bagi menjelaskan lagi senario sejarah ini, saya menyarankan Persatuan Sejarah Malaysia dapat mengadakan seminar seperti cadangan Wan Shamsuddin itu seberapa segera. Pulau Pinang harus dikembalikan kepada hak kesultanan dan tamadunnya yang asal.

Kerajaan Pusat juga harus mengikuti perkembangan ini dengan teliti.

Bagi mendapatkan ruang bicara mengenai cadangan dan pandangan ini, Prof. Murad yang juga Ketua Kluster Penyelidikan Kajian Oksiden di Alam Melayu, Universiti Teknologi Petronas memberi analisis impirikal ringkasnya mengenai hal ini. Katanya cadangan itu membuka perbincangan yang penting bukan hanya dari segi kedaulatan kesultanan Kedah (yang tertua di dunia dan Malaysia), tetapi juga usaha berterusan mengeluarkan sejarah dan persejarahan Malaysia dari kepompong kolonial Inggeris.

Ikuti tulisan beliau:

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz2lLYSJw9T
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...