SELAMAT MENYAMBUT HARI WANITA

Monday 27 August 2012

DUDUK DALAM SATU PAKATAN, CITARASA LAIN-LAIN



TIDUR sebantal tetapi mimpi lain-lain. Kesimpulan ini bukan baru diberikan oleh pemerhati politik tanah air kepada pakatan pembangkang. Ia bermula sejak awal parti-parti terbabit iaitu Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjalinkan hubungan kerjasama lagi. Namun, ramai yang memandang sinis. Hari ini, apa yang disimpulkan itu semakin jelas. Ia jelas bukan sahaja berdasarkan tindak-tanduk kepartian malah keputusan-keputusan yang dibuat.
Terbaru ialah tema menyambut hari kemerdekaan negara. Walaupun temanya telah ditetapkan oleh Kerajaan Pusat iaitu `55 Tahun Merdeka Janji Ditepati', ia dibangkang sekeras-kerasnya negeri-negeri diterajui pakatan pembangkang. 
Benar, tema kali ini agak cenderung kepada kerajaan sedia ada. Namun, sekiranya apa yang dilakukan itu adalah atas dasar membawa kebaikan kepada rakyat, mendatangkan manfaat untuk masa depan negara, mengapa perlu dibangkang? Janji ditepati adalah sesuatu yang diharapkan rakyat selama ini. Ia agar seseorang pemimpin itu tidak lagi suka berjanji tetapi tinggal janji.

Hakikatnya, tanggungjawab pembangkang dalam sesebuah negara bukanlah membangkang apa sahaja yang dilakukan oleh pucuk pimpinan. Tetapi tugas pembangkang adalah untuk memastikan tadbir urus negara berjalan dengan baik.
Di sebalik bangkangan tersebut, mereka sendiri gagal mencapai kata sepakat. Justeru, buat pertama kali dalam sejarah, tema sambutan yang selama ini menyatu-padukan rakyat berbilang kaum di negara ini, nampak carca-marba.

Negeri-negeri dikuasai pembangkang iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan mempunyai tema masing-masing. Jika Selangor dan Pulau Pinang menggunakan tema `Sebangsa, Senegara, Sejiwa', Pas di Kelantan memilih `Menerajui Perubahan' manakala `Terus Berbakti' oleh kerajaan negeri Kedah.

Carca-marba itu sehingga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian terpaksa tampil untuk memperbetulkan keadaan dan mengatakan, pakatan pembangkang akhirnya bersetuju dengan tema `Sebangsa, Senegara, Sejiwa.' Hakikatnya, ada sesuatu yang menarik tentang tema ini kerana di peringkat awal, hanya Selangor dan Pulau Pinang sahaja bersetuju untuk menggunakannya.

Mengapa hanya dua negeri ini sangat berminat dan tidak kerajaan Pas Kelantan serta Kedah? Jawapannya mudah - kerana kepimpinan serta matlamat Pas dengan sekutunya iaitu DAP dan PKR adalah jauh berbeza. Jika mereka sekata, seiring dan sejalan, masalah atau carca-marba yang berlaku ini tidak akan terlihat.

Dalam hal ini, Pas mungkin tidak berani bertindak lebih jauh. Ini kerana mereka sangat memerlukan dua sekutunya ini untuk menghadapi pilihan raya. Jika soal hudud yang menjadi agenda perjuangan Pas sekian lama pun pemimpin-pemimpinnya boleh bertolak-ansur demi pilihan raya, mungkin kali ini mereka masih mampu untuk menutup sebelah mata. 

Namun, ini semua dilakukan dalam keadaan sebelum pilihan raya atau lebih tepat lagi sebelum mereka mempunyai kuasa. Ditakdirkan mereka menang, apakah jaminan pembangkang kepada rakyat bahawa mereka mampu mentadbir dengan baik? Dalam hubungan ini, jelas bahawa DAP dan PKR dilihat sebagai sekutu yang lebih rapat berbanding Pas kerana agenda mereka mungkin tidak banyak berbeza.

Malah, DAP dan PKR mempunyai ramai pemimpin liberal yang terlalu berhasrat untuk memastikan politik di Malaysia tidak lagi dikuasai oleh golongan majoriti. Pun begitu, sebagai parti yang turut mewakili golongan majoriti di negara ini, Pas pastinya tidak akan membenarkan perkara tersebut berlaku.

Persoalannya, mampukah Pas bertindak sendirian di kala negara ini ditadbir pakatan pembangkang? Mungkin perkara ini yang kurang diberi perhatian disebabkan keinginan untuk memenangi pilihan raya mengatasi segala-galanya!


Dihantar Oleh sitimariam pada Augus t 15 2012 UTUSAN MALAYSIA

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...