Amanah adalah satu hak yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang samada tanggungjawab itu milik Allah (hak Allah) mahupun hak manusia (hak insan) baik berupa pekerjaan mahupun perkataan dan pekerjaan hati.
Pengertian amanah bererti menempatkan sesuatu pada tempatnya yang wajar, seperti sesuatu kedudukan tidak diberikan kecuali kepada orang yang betul-betul berhak dan yang betul-betul mampu menunaikan tugas dan kewajipannya dengan benar.
Pengertian amanah di dalam Islam cukup luas dan berat untuk pertanggungjawabkan.
Sabda Rasulullah S.A.W. dari riwayat Al-Bukhari yang bererti : " Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pemimpin, ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta tanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Suami adalah pemimpin di dalam keluarganya, dan dia akan bertanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Isteri juga pemimpin, dalam mengendalikan rumahtangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumahtangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya."
Dari hadis ini jelaslah bahawa tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan diri dari tanggungjawab, dan tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat dan semuanya akan ditanya oleh Allah apakah tanggungjawab kita itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak.
Sabda Rasulullah S.A.W. seperti mana yang telah diberitahu oleh Anas bin Malik yang bermaksud : "Tidak sempurna iman seseorang yang tidak dapat dipercayainya. Dan tidak sempurna agama orang yang tidak menunaikan janji."
Firman Allah subhanahua ta'ala dalam surah An-Nisa' ayat 58 yang berbunyi :
Maksudnya : " Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".
Amanah hendaklah diberikan kepada orang yang benar-benar boleh melaksanakannya, kerana menurut hadis Rsulullah S.A.W. dari riwayat Muslim : " Dari Abu Zar, dia berkata : " Saya berkata " : Ya Rasulullah mengapa tuan tidak memilih saya. " Rasulullah bersabda " Hai Abu Zar engkau seorang yang lemah, sedangkan itu sebagai amanah pada hari kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan, kecuali orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya dan memenuhi tanggungjawabnya."
Dalam satu hadis Rasulullah S.A.W. digambarkan bahawa kemusnahan akan berlaku sekiranya amanah diberikan kepada orang yang bukan ahlinya. Hadis tersebut yang bererti : Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., bertanya tentang " Bilakah terjadi kiamat ". Rasulullah S.A.W. menjawab yang bermaksud : " Apabila hilang amanah, tunggulah kiamat itu". Orang itu bertanya lagi : "Bagaimanakah keadaan itu berlaku ?" Jawab Rasulullah S.A.W. : " Iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamatnya (kerosakan)."
Untuk memenuhi erti amanah, hendaklah manusia berlumba menunaikan tugasnya dengan tegas dan bersungguh-sungguh serta sebaik-baiknya dalam menyempurnakan satu amanah yang dijunjung tinggi. Islam menyarankan supaya manusia ikhlas bekerja dan suka memperhatikan hak-hak manusia yang diamanahkan kepadanya, tidak memandang ringan tugas yang diamanahkan.
Rasulullah S.A.W. telah menjelaskan, tidak akan berlaku kiamat yang lebih besar dan yang lebih buruk daripada khianat seorang muslim yang diamanahkan memimpin urusan manusia, tetapi kemudian dia mengabaikannya sehingga semua urusan jadi terbiar dan sia-sia. Oleh itu jangan kita menyalahgunakan kedudukan yang diberikan untuk menarik keuntungan peribadi atau keluarga.
Memang telah sewajarnya bagi pekerja tanpa mengira pangkat mendapat imbuhan gaji sebagai ganjarannya, tetapi berusaha mencari tambahan gaji atau upah dengan jalan penyelewengan seperti rasuah adalah usaha haram dan berdosa besar.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :"Barangsiapa yang kami angkat menjadi penguasa (pemerintah) untuk mengerjakan sesuatu, dan kami memberi upah menurut semestinya, maka apa yang dia ambil lebih dari upah yang sepatutnya adalah satu kesalahan "